Friday 24 October 2014

Jeruk untuk ibu mengandung

Masam hilangkan loya 
Apa pun, mengidam asam atau jeruk begitu sinonim dengan wanita mengandung. Tanpa mengira jenis asam atau jeruk, lazimnya wanita hamil dikatakan suka mengambil makanan itu bagi menahan rasa loya yang dialami sepanjang tempoh mengandung. 

Ada juga yang bertanggapan, rasa loya atau teringin terhadap jeruk itu adalah pembawaan anak dalam kandungan. Mitos pula mengatakan jika si ibu tidak menikmati apa yang diinginkan akan memberi kesan kepada anak. 

Apa yang pasti, sungguhpun pengambilan makanan masam seperti jeruk tidak mengganggu pertumbuhan janin, namun ia boleh mengundang masalah kesihatan kepada ibu. Justeru ia juga mampu mengancam janin di dalam perut akibat kekurangan nutrien yang seimbang. 

Pensyarah Kanan dan Dietitian, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata ketika kehamilan, pemakanan yang sihat adalah amat penting bagi memastikan fetus atau anak dalam kandungan mendapat kesemua zat yang diperlukan untuk mencapai pembesaran optimum ketika dalam kandungan. 

Pada awal kehamilan, wanita biasanya mengalami pelbagai perubahan seperti mual dan loya yang menyebabkan selera makan berkurangan atau hanya suka kepada sesuatu jenis makanan saja. 

Ada juga yang mengidam dan ingin makan pelbagai jenis makanan seperti jeruk atau asam yang sering menjadi pilihan ketika kehamilan sama ada ketika loya, mual serta ketika mengidam, katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. 

Jeruk dan asam memang sedap dimakan terutama apabila tekak terasa loya atau mual, tetapi makanan yang boleh dikelaskan sebagai makanan ringan itu mungkin boleh memberi kesan tidak baik kepada kandungan. 

Jadi ibu hamil disarankan agar kurangkan pengambilan jeruk ketika hamil. Boleh makan untuk menghilangkan rasa loya, mual atau mengidam tapi haruslah jangan berlebihan.


No comments:

Post a Comment