Tuesday 4 November 2014

Ovulasi wanita

Setiap bulan, 15 hingga 20 telur matang dalam ovari. Telur yang paling matang dilepaskan ke dalam kaviti pelvis dan ditarik masuk ke dalam tiub falopio. Tiub falopio menyambungkan ovari ke uterus (rahim)

Ovari anda tidak semestinya bergilir-gilir melepaskan telur. Ia berlaku secara rawak. 

Bagaimanakah ovulasi menentukan bila saya boleh hamil?
Untuk hamil secara natural, satu telur dan satu sperma mestilah bertemu dalam tiub falopio. Sesuatu telur itu boleh hidup tidak lebih dari 24 jam selepas ovulasi. Oleh itu, pertemuan telur dan sperma mestilah berlaku pada masa ini.

Walau bagaimanapun, sperma boleh hidup lebih lama iaitu sehingga tujuh hari dalam faraj, uterus atau tiub falopio anda.

Ini bermakna anda tidak perlu menjadualkan hubungan seks tepat pada masa ovulasi untuk menjadi hamil. Anda mempunyai "ruang subur terbuka" selama kira-kira enam hari. 

Ruang subur ini termasuk lima hari sebelum ovulasi dan hari ovulasi itu sendiri. Oleh itu, jika anda bersama dengan suami semasa dalam waktu subur ini, telur yang baru diovulasi ini akan berpeluang bertemu dengan sperma yang sihat dan disenyawakan.

Bagaimana hendak menentukan bilakah saya paling subur?

Cara yang paling mudah untuk menentukan waktu subur anda ialah dengan mencatatkan tempoh kitaran haid anda. Kemudian lihatlah sebarang tanda perubahan hormon dan fizikal diri anda.

Anda akan mula melihat tanda-tanda kesuburan kira-kira lima hari sebelum ovulasi. Ovulasi biasanya bermula di antara 12 hingga 14 hari sebelum anda datang haid. Ini adalah anggaran purata sahaja, oleh itu ia boleh berlaku dalam masa dua hari sebelum atau selepas itu.

Contohnya, katalah kitaran haid anda ialah 28 hari dan tetap. Kira hari pertama anda datang haid sebagai Hari Pertama. Waktu subur anda kemungkinan besarnya ialah di antara hari ke-12 dan ke-17.

Namun ramai wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak tetap. Jika kitaran haid anda tidak tetap, ovulasi mungkin berlaku seminggu awal atau lewat dari satu bulan ke bulan seterusnya.

Mengira tarikh kesuburan menggunakan kitaran haid sahaja sebenarnya bukanlah cara yang sangat tepat. Oleh sebab itulah, pengenal pastian tanda-tanda fizikal kesuburan dapat membantu. Ini termasuk:

Perubahan pada mukus serviks 
Mukus serviks ialah lendir yang anda lihat pada seluar dalam atau kertas tisu apabila anda membuang air kecil.

Perubahan pada mukus serviks dapat memberitahu bilakah anda sedang subur. Selepas haid anda habis, mukus serviks akan bertambah secara beransur-ansur dan berubah dari segi teksturnya.

Perubahan ini menandakan peningkatan tahap hormon estrogen dalam badan anda. Ia juga menunjukkan bahawa anda sudah hampir mengovulasi.

Anda paling subur apabila mukus serviks berwarna bening, licin dan anjal. Ia kelihatan seperti putih telur yang mentah. Mukus yang subur ini membantu mempercepatkan perjalanan sperma masuk ke dalam uterus. Ia membekalkan zat dan melindungi sperma apabila bergerak menuju tiub falopio untuk bertemu dengan telur anda.

ada lagi tanda2 nya..Umi cerita di entri lain ye...:)

1 comment: